Umno berdepan perspektif negatif jika tiada pertandingan jawatan presiden, timbalan

Umno berdepan perspektif negatif jika tiada pertandingan jawatan presiden, timbalan

UMNO akan berdepan dengan perspektif negatif sekiranya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, berkata perkara tersebut boleh memberi kesan bukan sahaja kepada parti malah 60 peratus pengundi Melayu yang sedang memerhati senario yang berlaku.

“Sesiapa saja yang dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden nanti pastinya akan mendapat sokongan jitu dari ahli-ahli parti pada akhirnya.

“Sekiranya jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Zainal Abidin berkata, pelbagai pandangan dan pendapat dilontarkan oleh ahli-ahli yang mana ada yang bersetuju dan tidak bersetuju agar jawatan berkenaan dipertandingkan.

Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang itu juga meminta semua ahli parti mengikhlaskan hati dan selari dengan perbuatan untuk menuju ke hadapan.

Katanya, masih belum terlambat untuk ahli Umno memberi nafas baru dan segar kepada parti ketika ini.

“Mungkin kita semua termasuk saya sendiri telah membuat banyak kesilapan sebelum ini tetapi takkan lah kita nak membiarkan kesilapan itu berterusan jika kita sedar dan tahu akibatnya. Perjalanan Umno masih jauh dan penuh berliku di hadapan.

“Kami cuma mengharapkan agar pimpinan di atas juga mempunyai iltizam dan niat yang sama untuk memartabatkan semula parti,” katanya.

Semalam, cadangan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden, mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial semalam, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan suara laungan ‘setuju’ kedengaran menyokong cadangan itu.

Pada masa sama, ada kumpulan perwakilan lain dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’. – Malaysiapost

Komen