5 rakyat Malaysia mangsa pemerdagangan manusia didakwa di Mahkamah Thailand

5 rakyat Malaysia mangsa pemerdagangan manusia didakwa di Mahkamah Thailand

Ben Ibrahim

LIMA rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar akan didakwa di Mahkamah Thailand.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, mereka akan didakwa kerana memasuki Thailand tanpa kebenaran.

Beliau berkata, lima mangsa yang berusia antara 19 hingga 33 tahun termasuk seorang gadis, kini berada di Bangkok, Thailand dan akan dibawa pulang selepas selesai proses dokumentasi.

“Saya akan ke sana (Thailand) esok dan membawa mereka pulang ke tanah air pada Selasa,” katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.

Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum memaklumkan lebih 40 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kekejaman sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap di Myawaddy, Myanmar.

“Sejak awal tahun ini, saya terima lebih 40 aduan mengenai rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket dan minta diselamatkan.

“Kita akan berusaha mendapatkan maklumat lanjut berkaitan mangsa dan menghubungi waris mereka bagi membolehkan laporan polis dibuat,” katanya. – Malaysiapost

Komen