Ahli Muafakat Nasional cecah 30,000 – Annuar

Ahli Muafakat Nasional cecah 30,000 – Annuar

JUMLAH keahlian Muafakat Nasional (MN) kini mencecah 30,000 orang selepas lebih sebulan permohonannya untuk menyertai pertubuhan itu dibuka kepada orang ramai.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan pencapaian jumlah keahlian seramai itu, tiba masanya untuk MN memulakan penubuhan perhubungan negeri dan kawasan.

“Penubuhan Perhubungan negeri akan bermula di Sabah pada 5 Februari ini.

“Ia kemudian akan disusuli Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Annuar berkata, sehingga kini empat negeri iaitu Pahang, Sabah, Selangor dan Sarawak sudah mempunyai Pengerusi Perhubungan.

“Sukacita saya mengumumkan Pengerusi Perhubungan MN Pahang ialah Nasrudin Hassan Tantawi yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

“Pengerusi Perhubungan MN Sabah adalah Jasmit Japong, Datuk Zuraida Kamarudin (Selangor) dan Datuk Justine Jinggot (Sarawak),” katanya.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu tersebut yang mula membuka keahlian kepada orang ramai mulai 10 Disember dan pada 15 Disember keahliannya hampir mencecah 20,000 orang.

Media melaporkan Annuar sebelum ini berkata, pertubuhan itu kekal sebagai sebuah NGO dan tidak terbabit dalam gerakan politik.

Katanya, MN akan memainkan peranan menanam nilai serta kefahaman kenegaraan yang berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati. – Malaysiapost

Komen