APMM tahan lima nelayan asing

APMM tahan lima nelayan asing

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan lima warga asing menerusi Op Ehsan di perairan Sungai Besar, semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim V Siva Kumar, berkata pihaknya menahan sebuah bot nelayan dikendalikan seorang tekong dan empat kru di kedudukan 5.2 batu nautika Sungai Besar pada jam 12.50 tengah hari.

“Pemeriksaan mendapati semua warga asing berusia 31 hingga 54 tahun terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemilik bot juga didapati menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siva Kumar berkata, pihaknya turut menemui kira 200 kilogram (kg) ikan campur dan peralatan menangkap ikan di atas bot berkenaan.

Beliau berkata, semua warga asing dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -Malaysiapost

Komen