Bunuh populariti PN, penyucian kluster mahkamah matlamat PH-BN sebelum PRN – Wan Saiful

Bunuh populariti PN, penyucian kluster mahkamah matlamat PH-BN sebelum PRN – Wan Saiful

FOKUS Umno sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah membunuh karakter Perikatan Nasional (PN) dengan menyentuh keperibadian Tan Sri Muhyiddin Yassin serta penyucian ‘kluster mahkamah’.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata populariti dan keyakinan rakyat terhadap PN dan Pengerusinya itu terus tinggi hingga ke hari ini.

“Rakyat tahu bahawa jika dibandingkan Anwar-Zahid dan orang-orangnya dengan Muhyiddin dan pemimpin di sekeliling Muhyiddin, maka perbezaannya adalah seperti langit dan bumi.

“Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) akan buat apa saja untuk merosakkan kredibiliti Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin PN,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Wan Saiful berkata, PH-BN perlu membuat penyucian imej kluster mahkamah dengan segera kerana mahu mempengaruhi persepsi rakyat dalam menghadapi PRN di enam negeri.

Katanya, matlamat mereka sudah pasti untuk membersihkan seorang demi seorang kluster mahkamah terutamanya Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan membebaskannya dari imej tersebut.

“Saya bimbang apabila membaca pendedahan Ketua Hakim Negara mengenai cubaan menakut-nakutkan atau memberi tekanan terhadap hakim pada tahun lepas.

“Saya menyokong pandangan Ketua Hakim Negara bahawa percubaan yang mereka buat pada tahun lepas ini adalah penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

“Kita mesti pertahankan integriti institusi perundangan dari salahlaku serangan seperti yang berlaku tahun lepas,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Wan Saiful berkata rakyat perlu sedar bahawa Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai rekod penyalahgunaan kuasa.

Ujarnya, ramai yang terlupa bahawa Anwar telah dipenjara kerana bersalah memaksa agensi penguatkuasaan undang-undang bertindak untuk kepentingannya sendiri dan menjalani hukuman penjara atas kesalahan tersebut.

“Sekarang Anwar-Zahid bergabung memegang dua jawatan tertinggi negara.

“Adakah kita boleh percaya mereka tidak akan mempergunakan agensi penguatkuasa untuk menyiasat dan menekan, dengan tujuan membunuh karakter Muhyiddin dan pemimpin PN, serta untuk membersihkan imej kluster mahkamah?,” soalnya. – Malaysiapost

Komen