Dakwa kes Najib pendakwaan terpilih, Zahid cetus persepsi buruk terhadap kerajaan – Muda

Dakwa kes Najib pendakwaan terpilih, Zahid cetus persepsi buruk terhadap kerajaan – Muda

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai pendakwaan politik dan terpilih memberi persepsi negatif terhadap institusi kehakiman negara.

Setiausaha Agung Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Abd Hadi, berkata desakan Ahmad Zahid supaya bekas Presiden Umno itu diberikan keadilan di mahkamah juga adalah kenyataan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, Presiden Umno itu seolah-olah menggambarkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, dibuat secara tidak adil.

“Ahmad Zahid bukan sahaja Presiden Umno, malah adalah Timbalan Perdana Menteri dan bukan Ahli Parlimen pembangkang.

“Kenyataan beliau yang juga orang nombor dua dalam kerajaan, memberi gambaran seolah-olah keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib berkait penyelewengan dana RM42 juta SRC International, dibuat secara tidak adil.

“Ia boleh membawa implikasi terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara, dan membina persepsi buruk terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, mengulangi pendirian parti itu mendesak Najib diberi keadilan di mahkamah dan menegaskan bekas Perdana Menteri itu dikenakan pendakwaan politik dan terpilih.

Amir menegaskan MUDA, yang juga sebahagian daripada parti yang menyertai Kerajaan Perpaduan, akan memastikan tiada campur tangan politik dalam kes di mahkamah.

“MUDA sebagai parti yang mendukung kerajaan hari ini, akan berusaha memastikan tiada campur tangan politik ke atas kes yang sedang dibicarakan.

“MUDA juga akan memastikan sebarang unsur campur tangan yang jelas, didedahkan kepada umum,” katanya. – Malaysiapost

Komen