Julie Sudiro sudah sedar, namun masih kritikal

Julie Sudiro sudah sedar, namun masih kritikal

PENYANYI veteran, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, dilaporkan semakin stabil selepas dimasukkan di Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam akibat paras oksigen menurun, sejak Isnin lalu.

Anak bongsunya, Jose Irmanto Sudiro Soliano, 45, berkata, ibunya masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital UiTM dan masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Emak masih dalam ICU sejak Selasa lalu. Tetapi, semalam saya diberitahu doktor, emak menunjukkan perkembangan positif.

“Keadaannya lebih baik daripada hari sebelumnya. Alhamdulillah, emak sudah sedar dan buka mata, tetapi masih dalam keadaan kritikal kerana belum dicabut saluran ‘intubation’ untuk membantunya bernafas.

“Tetapi, emak tahu apa yang kami cakap apabila memanggilnya. Namun, agak sukar emak bercakap dengan saluran pernafasan. Itu pun sudah membuatkan kami bersyukur,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tambah Jose, emaknya ada melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada September lalu dan keputusannya tidak berapa bagus.

“Ketika paras oksigen emak menurun, kami menghubungi paramedik datang ke rumah. Emak diberikan mesin oksigen untuk membantunya bernafas.

“Tetapi, paras oksigen masih menurun apabila diberikan bantuan mesin.

Sehubungan itu, Jose berharap sesiapa sahaja yang mengenali ibunya agar dapat mendoakan kesembuhan dan kesejahteraannya.

“Saya mohon peminat atau sesiapa mengenali emak mendoakannya segera sembuh daripada keadaan kritikal,” katanya. – Malaysiapost

Komen