PH Selangor akan pertahan semua kerusi dimenangi dalam PRN

PH Selangor akan pertahan semua kerusi dimenangi dalam PRN

PAKATAN Harapan (PH) Selangor dijangka mempertahankan semua 40 kerusi dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) biarpun kini bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Pendirian itu dinyatakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Amanah, Mohd Sany Hamzan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Taman Templer itu berkata, setakat ini beliau difahamkan PH tidak akan memberi laluan kepada BN di kerusi dimenanginya pada 2018.

“Kerusi yang akan dibincangkan (dengan BN) membabitkan kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN),” katanya seperti dilaporkan FMT.

Sany berkata, kerjasama antara PH dan BN memerlukan situasi menang-menang bagi semua rundingan pembahagian kerusi serta faktor yang perlu diambil kira, termasuk jentera, kewangan dan calon.

Katanya, ini kerana sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, parti menganggotai PH sudah melakukan rundingan mengenai peruntukan kerusi yang bakal ditandingi.

“Kami perlu kerusi campuran kerana kita tahu PH mempunyai kelebihan di kerusi ini.

“Tetapi kami faham, kami tidak boleh buat banyak tuntutan kerana Amanah adalah parti baharu, bukan seperti PKR dan DAP,” katanya.

Beliau menjangkakan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bakal dibubarkan Mei ini dengan pilihan raya negeri bakal diadakan pada bulan berikutnya.

Pada PRU14, Bersatu yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi enam kerusi DUN, manakala PAS hanya memenangi satu kerusi.

BN pula hanya memenangi empat daripada 56 kerusi dipertandingkan ketika itu. – Malaysiapost

Komen