Suami isteri terlibat kes letupan dituduh esok

Suami isteri terlibat kes letupan dituduh esok

PASANGAN suami isteri yang ditahan kerana terlibat dalam kes kematian seorang tukang masak akibat letupan akan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah jam 10 pagi.

“Kedua-dua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 29 Disember lalu, media melaporkan mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.

Siasatan awal mendapati mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.

Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.

Kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan rasa cemburu suspek lelaki terhadap mangsa. Malah, suspek lelaki itu dipercayai belajar membuat bahan letupan itu dari YouTube. – Malaysiapost

Komen