Umno perlu perubahan bagi bergerak dalam realiti politik baharu – Zahid

Umno perlu perubahan bagi bergerak dalam realiti politik baharu – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui parti itu perlu melakukan perubahan bagi bergerak seiring dalam realiti politik baharu.

Beliau berkata, sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang berakhir semalam, semua pihak telah mendengar pelbagai pandangan, cadangan serta kritikan daripada perwakilan.

“Sepanjang dua hari ini, kita telah mendengar pelbagai lontaran pandangan, gesaan, cadangan serta kritikan-kritikan membina daripada jurucakap-jurucakap.

“Soal-soal gerak kerja dan hala tuju parti, langkah-langkah pembetulan serta harapan yang dilontarkan, adalah petanda perlunya Umno melakukan perubahan. Kita mesti sepakat sebagai sebagai sebuah keluarga besar Umno dan terus bergerak ke hadapan.

“Saya tinggalkan perwakilan dengan ungkapan kata untuk kita bersama bergerak sederap, satukan niat dan tekad,” katanya dalam hantaran Facebook, semalam.

Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan merakam terima kasih kepada perwakilan yang hadir dari Perlis hingga ke Sabah bagi menghadiri PAU 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Katanya, beliau yakin komitmen para perwakilan kepada adalah atas dasar kecintaan serta tanggungjawab untuk sama-sama membawa Umno bergerak ke hadapan dalam politik baharu.

“Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada urusetia yang telah menguruskan dan mengelolakan Perhimpunan kali ini dengan baik,” katanya.

PAU kali ini yang disertai 5,523 perwakilan diadakan selama empat hari bermula Rabu lalu.

Jumlah itu melibatkan seramai 2,648 perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, Wanita (950), Pemuda (967) dan Puteri (958). – Malaysiapost

Komen