Video tular azan dalam ritual agama bukan di Malaysia – MCMC

Video tular azan dalam ritual agama bukan di Malaysia – MCMC

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan klip video tular berdurasi 2 minit 27 saat yang memaparkan seorang lelaki sedang melaungkan azan dalam ritual keagamaan, bukan berasal dari Malaysia.

Semakan MCMC mendapati video berkenaan berasal dari luar negara yang ditularkan semula seolah-olah berlaku di Malaysia.

“MCMC menegaskan video sedemikian dilihat sebagai satu kandungan yang mengancam serta boleh mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan berkenaan kerana dikhuatiri boleh menggambarkan konteks tidak tepat serta boleh digunakan individu atau pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan provokasi antara agama di negara ini.

Dalam kenyataan itu, MCMC turut meminta orang ramai agar tidak menokok tambah kapsyen bersifat spekulatif dan provokatif, selain meminta melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa cakna, berhati-hati dan elakkan daripada memuat naik sebarang kandungan yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi keharmonian dalam negara,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian, prejudis terhadap mana-mana kaum atau agama boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen