Dadah bernilai RM1.672 juta dirampas, 14 ditahan

Dadah bernilai RM1.672 juta dirampas, 14 ditahan

SINDIKET pengedaran dan pembungkusan dadah di Johor yang didalangi warga asing tumpas dengan penahanan 14 suspek dan rampasan 70,004 pil Erimin 5 dan beberapa dadah lain dianggarkan bernilai RM1.672 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kejayaan itu hasil daripada sembilan serbuan dalam operasi khas yang dijalankan sejak 5 Januari lalu hingga kelmarin.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan sekitar Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Mersing itu berjaya menahan 14 ahli sindiket termasuk lima wanita berusia 21 tahun hingga 48 tahun ditahan.

Beliau berkata lapan yang ditahan adalah warga asing termasuk seorang dalang utama.

“Sebanyak 70,004 biji pil Erimin 5 dengan berat 22.21 kilogram (kg) bernilai RM1.66 juta berjaya dirampas. Selain 54.70 gram syabu, 3.70 gram heroin, 2.40 gram ketamin dan satu gram ganja yang keseluruhannya bernilai RM1.672 juta.

“Modus operandi sindiket dadah ini ialah menjadikan kondominium dan rumah mewah sebagai stor simpanan dadah, sebelum diedarkan di pasaran tempatan dengan menyasarkan kelab hiburan dan kelab malam sekitar negeri ini,” katanya dalam sidang media di IPK Johor hari ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu dan dipercayai mengedar dadah terutama pil Eramin 5 untuk kegunaan pusat hiburan dengan harga RM15 sebiji.

“Mereka (pengunjung kelab malam) menggunakan dadah Erimin 5 ini untuk menurunkan kadar denyutan, memberi ketenangan dan sebagainya. Selepas ambil dadah dan berhibur, mereka akan ambil Erimin 5 untuk pulang supaya jadi lebih tenang.

“Sembilan daripada 14 suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, serta positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Polis juga menyita sebuah Maserati bernilai RM300,000, jam tangan jenama Rolex bernilai RM45,000 dan pelbagai barang kemas dengan nilai sitaan RM44,441,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Malaysiapost

Komen