Duta Besar Malaysia terima penghargaan daripada kerajaan Kazakhstan

Duta Besar Malaysia terima penghargaan daripada kerajaan Kazakhstan

MALAYSIA berusaha meningkatkan kerjasama dari segi perdagangan, pelancongan, dan pendidikan di Kazakhstan bagi memanfaatkan potensi hubungan dua hala antara bekas republik Kesatuan Soviet itu.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Datuk Syed Bakri Syed Abd Rahman, berkata inti pati tersebut turut dibincangkan dalam pertemuan perpisahan bersama Menteri Luar Negeri Kazakhstan, Mukhtar Tileuberdi pada 13 Januari lalu.

Dalam pertemuan itu juga, Duta Besar Malaysia dianugerahkan pingat ‘Friendship Darjah Kedua’, berdasarkan sumbangan besarnya terhadap hubungan Malaysia-Kazakhstan.

Menurutnya, hampir 9,000 pelajar dari Kazakhstan telah menamatkan pengajian di universiti Malaysia, termasuk lebih 12,000 pelancong dari negara itu turut melawat negara ini setiap tahun.

“Bagaimanapun, terdapat banyak potensi yang masih belum diterokai, dan mesti direalisasikan pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Syed Bakri berkata, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dijadualkan mengadakan lawatan ke Malaysia tahun ini, selepas ditangguhkan tiga tahun lalu akibat pandemik.

Ujarnya, sepanjang berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan sejak 2017, beliau telah memudahcara syarikat-syarikat Malaysia di dalam pelaburan mereka di negara itu, antaranya Simen Asia Tengah di Karaganda, dan CaspiOilGas (COG), serta Emir Oil, kedua-duanya di wilayah Mangystau.

Katanya, usaha tersebut sekali gus berupaya meneroka dan merangka proses bagi mengoptimumkan pelaburan syarikat tempatan di negara tersebut.

“Pada masa yang sama, Kedutaan telah membantu syarikat Malaysia yang menunjukkan minat melabur di Kazakhstan dari segi bidang halal menerusi dalam talian perniagaan global, perbankan Islam dan kewangan,” ujarnya lagi.

Pada perkembangan sama, Menteri Luar Negeri Kazakhstan dalam kenyataan menzahirkan penghargaan atas misi diplomatik Syed Bakri di Astana, sepanjang enam tahun lalu.

Syed Bakri akan pulang ke Ibu Pejabat Wisma Putra, dalam waktu terdekat.

Dalam kenyataan itu, Tileuberdi berkata mereka menekankan isu-isu kerjasama politik, perdagangan, ekonomi, kebudayaan serta kerjasama dua hala, sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kazakhstan.

Beliau juga menyatakan penghargaan atas sumbangan Syed Bakri terhadap kerjasama politik, perdagangan serta ekonomi kedua-dua negara itu.

Sementara itu, Syed Bakri ketika dihubungi Malaysiapost memaklumkan berbesar hati dengan penghargaan tersebut dan berharap hubungan dua hala Malaysia- Kazakhstan dapat diperkukuhkan.

“Harapan saya ialah perhubungan baik ini akan terus berkembang dan diperkukuhkan, demi kebaikan dua-dua negara dan rakyat masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

Komen