Kapal hilang: Keluarga mahu SAR diteruskan, percaya adik masih hidup,

Kapal hilang: Keluarga mahu SAR diteruskan, percaya adik masih hidup,

KELUARGA salah seorang kru kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu percaya adik mereka dan empat kru kapal berkenaan memerlukan bantuan sekali gus mahu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan.

Malah, mereka turut melahirkan rasa kesal terhadap pemilik dan wakil syarikat perkapalan itu kerana tidak menghubungi keluarga kru bagi memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan sehingga kini.

Kakak mangsa, Sandra Littor, 32, berkata keluarganya berharap pengurusan MV Dai Cat 06 dan wakil syarikat terbabit tampil bagi memberi penjelasan dan kerjasama sepenuhnya.

“Sehingga kini, syarikat itu masih belum membuat apa-apa penjelasan termasuk menjelaskan mengenai keadaan sebenar membabitkan adik, Derrent, 22.

“Kami difahamkan kapal kargo itu sebelum ini dibenarkan memunggah besi walaupun tidak berada dalam keadaan yang memuaskan. Justeru, kami mahu pihak terbabit bertanggungjawab dan tampil menjelaskan kepada keluarga mangsa,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya, mereka hanya mengetahui insiden kehilangan kapal kargo itu daripada rakan sebelum berusaha sendiri untuk mendapatkan maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, keluarganya difahamkan setakat ini hanya ada enam laporan polis dibuat iaitu satu daripada ejen kapal kargo di Lumut dan lima laporan lagi daripada keluarga kru kapal.

“Saya dan keluarga berharap syarikat MV Dai Cat 06 dan mereka yang terbabit untuk tampil memberi penjelasan kepada keluarga kru kapal yang terbabit.

“Sebab kami masih lagi tertanya-tanya kenapa dan maklumat mengenai kejadian itu kami hanya peroleh daripada APMM sahaja.

“Kini operasi SAR kapal kargo MV Dai Cat 06 dihentikan oleh pasukan keselamatan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia. Hanya rondaan rutin dibuat di perairan Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Katanya, mereka berharap operasi SAR diteruskan kerana sentiasa positif bahawa adik dan empat kru lain memerlukan bantuan.

Seorang lagi kakak Derrent, Lyli, 28, berkata kali terakhir dia menghubungi adiknya jam 1.47 tengah hari pada 1 Januari lalu.

Katanya, ketika itu adiknya memaklumkan berada di perairan Singapura dan sentiasa memakai jaket keselamatan.

“Derrent beritahu dia sentiasa memakai jaket keselamatan menyebabkan kami sekeluarga bimbang lebih-lebih lagi dengan kejadian ini.

“Kami sekeluarga berharap agar operasi SAR diteruskan kerana kami percayai adik (Derrent) masih perlukan bantuan,” katanya.

Pada 10 Januari lalu, media melaporkan kehilangan kapal MV Dai Cat 06 berukuran 52 meter yang membawa 527 batang besi bernilai RM726,205. – Malaysiapost

Komen