Kerajaan cari alternatif selain pengeluaran KWSP – PM

Kerajaan cari alternatif selain pengeluaran KWSP – PM

KERAJAAN bercadang untuk mencari alternatif lain bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup berbanding membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini memandangkan baki simpanan majoriti pencarum adalah sangat kecil.

Katanya, simpanan terbabit lebih penting untuk masa depan mereka atau keperluan lain yang lebih mendesak.

“Kalau tengok orang yang simpan KWSP itu duit sedikit sekali, jadi saya pertimbang untuk keperluan yang mendesak.

“Saya bimbang masa depan mereka, jadi lebih baik kita (kerajaan) cari jalan untuk bantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam di Negeri Perlis di Dewan 2020 di Kangar, hari ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) meminta kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang KWSP sebanyak RM30,000.

Presidennya, Khairul Anuar Othman berkata, pengeluaran secara one-off antara RM10,000 hingga RM30,000 adalah sebagai langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai. – Malaysiapost

Komen