Lelaki Orang Asli pengsan diterbangkan ke Hospital Gua Musang

Lelaki Orang Asli pengsan diterbangkan ke Hospital Gua Musang

SEORANG pesakit lelaki Orang Asli dari Pos Balar yang pengsan akibat demam panas terpaksa diterbangankan ke Hospital Gua Musang, semalam melalui penerbangan ihsan Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pesakit berkenaan, Rizal Aga, 28, dilaporkan mengalami demam panas sejak beberapa hari lalu dan muntah sebelum pengsan sehingga memerlukan bantuan bagi membawanya ke hospital melalui laluan udara.

Pesakit yang ditemani ayahnya Aga Along, 51, diterbangkan dari perkampungan Orang Asli Pos Balas pada jam 11.20 pagi ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang sebelum pesakit dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Bahagian Udara JBPM dalam satu perkongsian di laman Facebook rasminya, memaklumkan pesawat dan anak kapal ditugaskan untuk melaksanakan tugas penerbangan ‘Medevac’ bagi mengambil pesakit berkenaan.

“Dua jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada Hospital Gua Musang telah dibawa dari BBP Gua Musang ke Pos Balar bagi mengeluarkan pesakit.

“Peralatan perlindungan peribadi (PPE) digunakan sewaktu operasi dijalankan dan pesakit dalam keadaan baik semasa dibawa ke BBP Gua Musang serta kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan ambulans KKM,” menurut hantaran itu.

Menurutnya, selesai operasi pemindahan pesakit kerja-kerja sanitasi dilakukan untuk ruangan kabin pesawat sebelum berlepas balik dan selamat mendarat di Pangkalan Wilayah Tengah Subang pada 3.40 petang.

“Penerbangan diketuai juruterbang, Leftenan Kolonel Tengku Ahmad Shaif Isnawi Tengku Muhamad dan pembantu juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Hafiz Sulaiman serta dibantu tiga kru.

“Tiga anggota Pasukan Khas Udara Bomba turut membantu operasi,” katanya. – Malaysiapost

Komen