PAS Selangor yakin PN berpeluang menang PRN

PAS Selangor yakin PN berpeluang menang PRN

PAS Selangor berkeyakinan penuh Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang baik untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) walaupun cuba dinafikan pihak lawan.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ianya bersandarkan beberapa perkembangan mutakhir dan beberapa faktor yang ternyata menyumbang ke arah keyakinan itu.

“Sesungguhnya rakyat di Negeri Selangor sudah muak dengan siri-siri pembohongan dan jani-janji palsu Pakatan Harapan (PH) dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi.

“Calon-calon PH dan Barisan Nasional kecundang di enam kerusi Parlimen di negeri ini dalam PRU Parlimen ke 15 baru-baru ini malah Barisan Nasional (BN) gagal memenangi walau satu kerusi pun di Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Yunus berkata, PH dilihat tidak memiliki kemampuan membawa imej yang dikehendaki rakyat dalam pentadbiran, tambahan sanggup berkerjasama dengan BN yang selama ini diserang mereka sebagai kleptokrat dan serba pincang.

Katanya, rakyat Selangor masih tidak dapat melihat sebarang bentuk penyelesaian yang memuaskan dari kerajaan PH berhubung beberapa permasalahan besar di negeri itu.

Katanya, antara masalah yang masuh membelenggu rakyat Selangor ialah isu kos hidup, peluang pekerjaan dan perumahanan, isu banjir, pengurusan cerun dan tanah tinggi, pencemaran air dan kemudahan infrastruktur serta liputan internet.

“Rakyat Selangor inginkan sebuah kerajaan negeri yang berwibawa penuh berintegriti dan dapat membela nasib dan kehidupan mereka disamping membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri.

“Bukannya sebuah kerajaan yang populis dan gemar menabur janji-janji tetapi gagal membantu dan menangani permasalahan rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengambil kira ‘gelombang hijau’ yang membawa kemenangan besar PAS dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau berkata PAS yakin mampu mengambil alih kerajaan negeri Selangor. – Malaysiapost

Komen