Penjawat awam jangan takut tegur, lapor salah laku – PM

Penjawat awam jangan takut tegur, lapor salah laku – PM

PEGAWAI dan kakitangan awam diminta tidak takut untuk melaporkan segala perbuatan salah laku pihak atasan yang didapati melanggar undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjawat awam juga boleh menegur sebarang keputusan dibuat Menteri termasuk dirinya sendiri, jika ia didapati melanggar peraturan.

Menurutnya, negara tidak boleh menuju sebagai sebuah negara berjaya jika terdapat kebocoran dan ketirisan begitu banyak melibatkan pemberian komisen terlalu tinggi dan harga tidak berpatutan dalam mengendalikan kontrak kerajaan.

Beliau memberitahu melihat banyak keterlanjuran itu terutama di peringkat penguatkuasaan di Kementerian Kewangan dan perbuatan salah laku itu tidak boleh disalahkan kepada penjawat awam kerana ada minit mesyuarat adalah arahan terus daripada menteri.

Justeru, beliau meminta penjawat awam berani bersuara melawan ketidakpatuhan sekurang-kurangnya haruslah dimaklumkan terlebih dahulu sekalipun arahan-arahan tersebut dikeluarkan oleh beliau sendiri.

“Apa yang ingin saya tekankan adalah dari segi penguatkuasaan. Apa yang telah saya pelajari, terutamanya di Kementerian Kewangan, banyak fail-fail, banyak keterlanjuran. Nak salahkan pegawai, namun jika arahan dari menteri, apatah lagi perdana menteri, dia patuh.

“Apatah lagi kalau melibatkan pegawai-pegawai di pejabat saya (JPM) dan menteri-menteri.

“Sebab tu arahan pertama saya dan minta menteri-menteri beri kerjasama adalah semua Setiausaha Sulit Kanan (SUK) dan Ketua Setiausaha Kementerian (KSUK) di Pejabat Perdana Menteri harus dari kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD),” katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, hari ini.

Turut hadir Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar berkata, langkah tersebut sebagai satu pelarasan agar melancarkan gerak kerja di peringkat pentadbiran. – Malaysiapost

Komen