PM wajib nyatakan pendirian rasmi isu kapal China ceroboh perairan negara

PM wajib nyatakan pendirian rasmi isu kapal China ceroboh perairan negara

KERAJAAN diminta menjelaskan mengenai dakwaan pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China (CCC) di sekitar perairan negara terutama membabitkan kawasan yang kaya dengan khazanah minyak dan gas negara.

Ahli Parlimen Lumut Komander Nordin Ahmad Ismail (Bersara), berkata pihaknya menerima maklumat meresahkan mengenai pencerobohan kapal-kapal berkenaan di sekitar Hempasan Bantin (Luconia Breakers) iaitu sebahagian daripada gugusan Benting Patinggi Ali.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir perlu memberi jawapan dan tindakan segera mengenainya.

“Jika benar laporan pencerobohan oleh kapal-kapal CCG 5901, CCG 4301 dan CCG 5305 ini, yang maklumat mengenainya boleh diperolehi melalui ‘Open Source Intelligence’ (OSINT), kenyataan tegas serta pendirian rasmi wajib dibuat Perdana Menteri.

“Penjelasan terperinci juga perlu dilakukan Kementerian Pertahanan dan langkah bantahan diplomatik mesti dilunaskan Kementerian Luar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu membangkitkan beberapa persoalan termasuk dakwaan ada di antara tiga kapal berkenaan berada dalam perairan negara selama 25 hari.

“Apakah benar ada di antara tiga kapal ini pernah terlibat dalam insiden dengan nelayan Vietnam di Woody Island, Kepulauan Paracel, pada 2020 sehingga mengakibatkan bot nelayan Vietnam tenggelam?

“Jika maklumat ini benar, ia merupakan suatu perkara serius yang mesti diberi perhatian segera,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan serta kesiapsiagaan pertahanan negara perlu diperkasakan sesegera mungkin bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Menurutnya, langkah diplomasi perlu seiring dengan kekuatan pertahanan bagi membolehkan diplomasi politik dijayakan agar tiada mana-mana pihak dilihat berani membuli kita.

“Dalam hal ini, saya bersetuju dengan gesaan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa Perdana Menteri perlu menimbang menaikkan bajet untuk keperluan pertahanan dan keselamatan negara kepada 1.5 peratus dalam Bajet 2023.

“Ia memandangkan 61 peratus daripada aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah usang dan beroperasi dalam keadaan melebihi had umur reka bentuk, antaranya kapal Fast Attack Craft (FAC) yang sudah berusia 50 tahun,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada kerajaan, bahawa ini adalah masa bekerja yang memerlukan kepada tindakan serta hasil kerana rakyat mahukan hasil serta perubahan positif dengan kadar segera.

“Bukan lagi hanyut dalam isu-isu remeh atau khayal dengan bahasa-bahasa ‘bombastik’ tetapi tidak memberi sebarang kesan kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen