Remaja lemas sejak Sabtu ditemui

Remaja lemas sejak Sabtu ditemui

Ben Ibrahim

REMAJA lelaki berusia 19 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang, dekat Kampung Batu Bor, Bera sejak Sabtu lalu ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi ditemui jam 10.44 pagi dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira 900 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, penemuan mayat mangsa itu dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

“Mayat mangsa ditemui terapung dan tersangkut pada pokok di sungai itu.

Mayat Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi ditemui jam 10.44 pagi dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira 900 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

“Mayat kemudiannya dihantar ke hospital berhampiran bagi tujuan pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Operasi mencari mangsa hari ini bermula jam 8.30 pagi membabitkan 13 anggota dari unit K9 dan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dan Maran.

Sabtu lalu, Faizal Akmal Fikri yang berasal dari Kampung Bukit Lada, Temerloh dikatakan mandi bersama lima rakannya di sungai itu sebelum dilaporkan hilang. – Malaysiapost

Komen