Sindiket edar dadah tumpas, ganja bernilai RM1.13 juta dirampas

Sindiket edar dadah tumpas, ganja bernilai RM1.13 juta dirampas

SINDIKET pengedaran dadah jenis ganja tumpas dengan penahanan tiga suspek termasuk pasangan suami isteri dalam tiga serbuan pada Jumaat dan Sabtu lalu di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan merampas ganja bernilai RM1.13 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu berjaya menahan tiga suspek berusia 33 hingga 42 tahun dan merampas 451 kilogram (kg) ganja.

“Serbuan pertama menahan seorang lelaki yang berada di atas sebuah motosikal di hadapan sebuah rumah dan pemeriksaan ke atas suspek yang juga bekas anggota polis itu menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 10.2kg bernilai RM25,000.

“Polis kemudiannya membuat pemeriksaan di rumahnya sebelum menahan isteri lelaki itu yang bekerja kilang dan merampas 443 ketulan ganja seberat 441 kg bernilai RM1.1 juta.

“Pasangan itu masing-masing berusia 33 tahun dan semasa serbuan hanya terdapat mereka berdua sahaja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan pasangan terbabit, polis menyerbu sebuah lagi rumah di kawasan sama, dan menahan seorang lelaki ahli perniagaan berusia 42 tahun yang juga dipercayai ketua sindiket dadah berkenaan.

“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah sindiket ini telah bergiat aktif sejak awal tahun 2022 untuk pasaran tempatan dan dipercayai mendapatkan bekalan ganja dari rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara jiran.

“Sindiket berkenaan menjadikan rumah pasangan itu sebagai tempat menyimpan stok-stok ganja tersebut sebelum mereka mengedarkannya untuk pasaran tempatan, kediaman mereka tidak jauh dengan kawasan laut,” katanya.

Menurutnya, bekas koperal polis yang ditahan itu sebelum ini bertugas di Marang, Terengganu dan berkhidmat selama 11 tahun sebelum dibuang kerja pada 2018 kerana kesalahan berkaitan dadah.

Beliau berkata, polis turut menyita tiga kereta dan dua motosikal serta wang tunai RM37,000 yang kesemua jumlah keseluruhan sitaan adalah RM416,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan adalah RM1.546 juta.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek bekas anggota polis positif dadah dan mempunyai rekod lampau juga berkaitan dadah.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup ,” katanya. – Malaysiapost

Komen