Terengganu nafi ada masalah dengan PM, Kerajaan Pusat

Terengganu nafi ada masalah dengan PM, Kerajaan Pusat

KERAJAAN Terengganu menafikan mempunyai masalah dengan kerajaan Pusat susulan ketidakhadiran barisan pimpinan negeri ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu, Khamis lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata sebaliknya isu ketidakhadiran itu berlaku disebabkan masalah komunikasi, selain tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Kerajaan Pusat terutama dalam isu yang membabitkan kepentingan rakyat di Terengganu.

“Saya rasa sudah ada dijelaskan oleh pelbagai pihak dan pada saya penjelasan yang diberikan oleh pelbagai pihak itu sudah mencukupi.

“Saya tidak ingin memanjangkan lagi perkara itu kerana kita tidak ada masalah dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau pun Perdana Menteri.

“Kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat tidak ada langsung masalah untuk bekerjasama (dan) apa yang berlaku ialah masalah komunikasi,” katanya.

Jelasnya lagi, ketidakhadiran beliau dan pimpinan negeri yang lain pada program berkenaan kerana dimaklumkan tiada urusan khusus dengan kerajaan negeri.

Katanya, dalam kunjungan Perdana Menteri itu, pihaknya tidak dimaklumkan bahawa ada urusan secara khusus dengan kerajaan negeri.

“Amalan sebelum-sebelum ini ialah apabila PMO menghubungi kerajaan negeri untuk apa jua urusan, kita dimaklumkan dengan jelas apa tujuan kedatangan dan siapa yang terbabit.

“Oleh demikian, cara pengurusan daripada kerajaan negeri (adalah) kita membantu daripada segi logistik dan pengangkutan sebagaimana yang diminta…tidak dibuat permintaan lain daripada itu,” katanya.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyifatkan tindakan pimpinan kerajaan negeri yang tidak kelihatan ketika kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu Khamis lalu sebagai biadab dan tidak menghormati tetamu. – Malaysiapost

Komen