Wang Bantuan Awal Persekolahan RM100,000 lesap dilarikan penjenayah

Wang Bantuan Awal Persekolahan RM100,000 lesap dilarikan penjenayah

WANG Bantuan Awal Persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor lesap selepas dilarikan penjenayah, pagi tadi.

Difahamkan, wang berkenaan baru sahaja dikeluarkan oleh pengetua sekolah berkenaan sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, pengetua berkenaan mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan dari sebuah bank di pekan Semenyih yang sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya esok.

Sejurus mengeluarkan wang berkenaan, dia menuju ke arah kenderaannya yang terletak kira-kira 30 meter dari bank, sebelum meletakkannya di bawah kerusi penumpang hadapan.

Dia kemudian ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman.

Namun sebaik tiba semula di kenderaannya, didapati cermin penumpang telah pecah dan wang telah hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan kejadian itu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

Komen