Warga emas rentung, 6 rumah musnah terbakar

Warga emas rentung, 6 rumah musnah terbakar

SEORANG lelaki warga emas berusia 80-an rentung dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Bagan Ikan, Bagan Datuk awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, turut dilaporkan seorang mangsa berusia 24 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian lutut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.42 pagi.

“Kebakaran membabitkan enam rumah kelas B yang musnah terbakar 90 peratus.

“Mangsa yang maut ditemui dalam bilik rumah kedua yang terbakar. Seorang lagi mangsa berusia 24 tahun pula mengalami kecederaan di bahagian lutut.

“Kebakaran turut mengakibatkan dua kereta jenis Toyota Altis dan Perodua Kancil serta sebuah motosikal musnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dengan bantuan BBP Teluk Intan, Balai Bomba Sukarela (BBS) Sungai Tiang dan BBS Bagan Datuk menjalankan operasi pemadam kebakaran itu.

Pengarah Bomba Perak Azmi Osman turut dilaporkan meninjau lokasi kebakaran berkenaan dan operasi pemadaman tamat jam 1.21 tengah hari tadi.

Berdasarkan beberapa video kejadian kebakaran itu, selain api yang marak turut berlaku beberapa letupan bunga api di rumah-rumah yang terbakar itu dipercayai untuk sambutan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini. – Malaysiapost

Komen