Agong zahir takziah kepada keluarga Saud Abdulaziz

Agong zahir takziah kepada keluarga Saud Abdulaziz

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Saud Abdulaziz al-Mohannadi yang meninggal dunia baru-baru ini.

Menerusi hantaran dalam Facebook Istana Negara pada Selasa, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa simpati terhadap pemergian Allahyarham yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Qatar itu.

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Al-Sultan Abdullah, yang juga bekas Naib Presiden AFC dan ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengiktiraf legasi dan sumbangan besar Saud Abdulaziz terhadap pembangunan bola sepak di Qatar dan Asia.

“Pemergiannya ialah satu kehilangan besar kepada komuniti bola sepak Qatar dan Asia,” menurut hantaran itu.

Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar roh Allahyarham Saud Abdulaziz dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Media sebelum ini melaporkan, Saud Abdulaziz, 66, meninggal dunia pada 10 Januari lalu selepas lama bergelut dengan penyakit yang dideritainya. – Malaysiapost

Komen