Bekas pengetua hadapi 13 pertuduhan kes seksual terhadap pelajar

Bekas pengetua hadapi 13 pertuduhan kes seksual terhadap pelajar

SEORANG bekas pengetua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas 13 pertuduhan berkaitan kes seksual terhadap pelajarnya sekitar 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, tertuduh 58, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Othman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual, selain turut didakwa melakukan amang seksual fizikal dan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun, lapor Utusan Online.

Kesemua kesalahan itu dilakukan oleh mangsa di beberapa lokasi di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang antara November 2020 sehingga November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.

Selain itu, tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 11(a) dan masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(c) serta Seksyen 14(d) AKSTKK 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga sehingga 30 tahun serta sebatan bagi semua pertuduhan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad. – Malaysiapost

Kredit foto: Utusan Online

Komen