Bekas Timbalan Menteri Agama tegur filem Pulau ada babak lucah keterlaluan

Bekas Timbalan Menteri Agama tegur filem Pulau ada babak lucah keterlaluan

FILEM thriller ‘Pulau’ yang bakal ditayangkan di pawagam pada 9 Mac ini terus menerima kecaman kerana mengandungi babak yang didakwa lucah dan keterlaluan.

Menerusi trailer yang di muat naik di media sosial, netizen melahirkan rasa tidak puas hati dan mengecam pelakon yang didakwa tidak sensitif dengan budaya Timur di negara ini.

Filem itu menunjukkan pelakon wanita berpakaian mencolok mata selain memaparkan pergaulan bebas.

Ramai yang meluahkan kekecewaan terhadap filem tempatan yang terikut-ikut dengan gaya filem Barat yang dibarisi pelakon seperti Amelia Henderson, Alif Satar dan Ikmal Amry.

Terbaru, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary turut mengecam filem berkenaan.

Beliau mendakwa filem Pulau itu mengandungi babak lucah dan berlebihan.

“Tidak ada menteri yang bersuara pun?” sindirnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menapis filem thriller Pulau itu dengan sebaik mungkin selepas didakwa mempunyai banyak adegan dan pemakaian yang mencolok mata.

“Mohon pihak Finas tapis-setapisnya filem ini yang banyak adegan dan gaya pemakaian yang sangat mencolok mata dan tak sesuai ditayangkan khas buat umat Islam..,” tulisnya. – Malaysiapost

Komen