‘Coklat’ untuk orang lain, bukan Guan Eng – Gobind

‘Coklat’ untuk orang lain, bukan Guan Eng – Gobind

PEGUAM Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo, mendakwa wang berjumlah RM2 juta yang diberi kod nama ‘coklat’ yang dikatakan diserah kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu melalui orang tengah, sebenarnya dibayar kepada pihak lain.

Gobind berkata, ia berdasarkan keterangan dua saksi dalam perbicaraan kes tipu membabitkan ahli perniagaan, G Gnanaraja, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, iaitu Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Azli Adam dan Ibrahim Sahari, yang mengesahkan wang itu bukan untuk Guan Eng.

Menurut Gobind, kedua-dua saksi itu ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dihadapi Guan Eng, sebaliknya mendakwa wang berkenaan dibayar kepada anak guamnya, lapor Berita Harian.

Azli dalam keterangannya dilaporkan berkata, pembayaran dibuat menggunakan modus operandi pemalsuan dokumen membabitkan dua syarikat yang tidak aktif atas arahan Pengarah CZCSB, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Sehubungan itu, Gobind memohon mahkamah memainkan dua klip video rakaman perbicaraan di Mahkamah Sesyen Shah Alam membabitkan keterangan Azli dan Ibrahim bagi menunjukkan saksi itu mereka-reka cerita dan berbohong.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Gobind membuat permohonan itu ketika menyoal saksi pendakwaan kelapan iaitu Pegawai Penyiasat Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof, dengan merujuk kepada dokumen perbualan WhatsApp di antara Zarul dan Gnanaraja pada Ogos 2017.

Hakim Azura Alwi turut mempersoalkan sama ada relevan untuk memainkan rakaman itu kerana menurutnya, Wan Mohd Firdaus tidak terbabit dalam perbicaraan di Shah Alam, dan saksi berkenaan hanya boleh memberi pandangan.

Sementara itu, Gobind berkata pihaknya mahukan laporan forensik mengandungi perbualan WhatsApp antara Gnanaraja dan Zarul dibekalkan kepada pembelaan untuk menunjukkan wang yang didakwa dibayar kepada Guan Eng melalui Gnanaraja (orang tengah) adalah pembohongan.

Peguam itu berkata, pihaknya hanya memperoleh perbualan WhatsApp tidak lengkap walaupun selepas mendapat perintah mahkamah supaya pendakwaan membekalkan dokumen berkenaan.

“Dokumen itu berkaitan transaksi dalam kes ini, kalau ia tidak relevan mengapa ia dibekalkan kepada kami tetapi dokumen yang kami peroleh tidak lengkap.

“Perbualan WhatsApp pada 17 Ogos 2017 menunjukkan Zarul yang berbohong dan mereka-reka keterangan dalam mahkamah.

“Kalau pendakwaan boleh memberikan dokumen perbualan pada 18 Ogos, kenapa tidak boleh beri perbualan sehari sebelum itu,” katanya.

Azura kemudian mengarahkan supaya Wan Ahmad Firdaus membawa dokumen pada perbicaraan esok untuk dijadikan rujukan saksi.

Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – Malaysiapost

Komen