Dakwa DAP promosi Islamofobia, Abdul Hadi hanya memalukan negara – Kit Siang

Dakwa DAP promosi Islamofobia, Abdul Hadi hanya memalukan negara – Kit Siang

LIM Kit Siang menegaskan DAP tidak pernah mempromosikan Islamofobia kerana mahu Malaysia memanfaatkan nilai-nilai terbaik daripada setiap agama dalam mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia bertaraf dunia.

Veteran DAP yang juga bekas Pengerusi DAP itu berkata, tuduhan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia telah mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia.

Berikutan itu beliau menuntut Ahli Parlimen Marang berkenaan membuktikan dakwaannya atau menarik semula tuduhan dan akui kesilapannya.

“DAP ada empat orang Menteri, 40 orang Ahli Parlimen, seorang Ketua Menteri, seorang Timbalan Ketua Menteri, 14 Exco, 91 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan lima Kerajaan Negeri.

“Tidak perlu ada reaksi melampau terhadap tuduhan Abdul Hadi yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia, tetapi tidak bermakna kita patut biarkan sahaja tuduhan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Abdul Hadi sebagai bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, patut sedar yang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mempunyai Badan Pemerhati Islamofobia.

“Daripada laporan tahunan Pemerhati Islamofobia OIC yang diterbitkan sejak 2007, tidak ada sebarang bentuk Islamofobia dilaporkan di Malaysia.

“Abdul Hadi telah gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah apabila dia tidak membuat laporan mengenai Islamofobia di Malaysia kepada Pemerhati Islamofobia OIC,” katanya.

Menurutnya, Presiden Pas itu sepatutnya melaporkan dakwaan Islamofobia dibuatnya kepada Pemerhati Islamofobia OIC, atau berhenti mencemarkan nama baik Malaysia dengan menarik semula tuduhannya.

“Sekiranya Abdul Hadi tidak dapat buktikan tuduhan mengatakan DAP anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia, terbuktilah dia seorang pemimpin politik tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab.

“Dia sanggup membuat pelbagai fitnah untuk mencemarkan nama baik negara demi kepentingan politiknya,” katanya. – Malaysiapost

Komen