Isytihar harta hanya sandiwara – Anwar

Isytihar harta hanya sandiwara – Anwar

PENGISYTIHARAN harta segelintir pemimpin politik termasuk yang menjadi menteri, disifatkan satu sandiwara kerana tidak mencerminkan jumlah sebenar kekayaan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada pemimpin politik yang sebenarnya memiliki harta ratusan juta tetapi hanya mengisytiharkan antara RM10 juta hingga RM11 juta saja.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan proses pengisytiharan aset menteri lebih telus dengan menetapkan parameter yang betul.

Menurut Anwar, terdapat segelintir menteri sebelum ini tidak telus dalam membuat pengisytiharan aset sambil menyifatkan mereka seolah-olah mempersenda proses itu.

“Apabila melihat kepada angka dalam fail, ia mengejutkan saya.

“Kebanyakan orang tidak bercakap benar. Ia menjadi bahan ejekan,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Dialog Belanjawan 2023, di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada barisan menterinya sudah mengisytiharkan harta dan jika belum dilakukan, mengapa dan bila ia akan didedahkan kepada umum.

November lalu, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), meminta semua Ahli Parlimen baharu dipilih terutama dalam Pakatan Harapan (PH) perlu membuat pengisytiharan harta selaras janji pilihan raya mereka.

Pengerusi C4, Terence Gomez, dilapor berkata Ahli Parlimen PH juga mesti mengisytiharkan harta pasangan masing-masing dan ahli keluarga berusia 18 tahun ke atas sebagaimana dijanjikan dalam manifesto.

Beliau berkata, mengisytiharkan harta tidak sepatutnya menjadi amalan sekali sahaja selepas pilihan raya atau seseorang itu dilantik memegang jawatan menteri.

Sebaliknya, pengisytiharan harta perlu dilakukan setiap tahun, justeru rakyat dapat menentukan sekiranya ada kemewahan dikumpul ketika dalam jawatan. – Malaysiapost

Komen