Kastam Pahang tumpas sindiket penyeludupan rokok

Kastam Pahang tumpas sindiket penyeludupan rokok

Ben Ibrahim

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar di negeri itu dianggarkan bernilai RM2.16 juta, 5 Januari lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan, berkata pihaknya menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Temerloh sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan rokok seludup berkenaan.

“Lori itu sedang parkir di kawasan letak kenderaan berat ketika pegawai dan anggota kami memperkenalkan diri sebelum melakukan pemeriksaan.

“Kita percaya lori terbabit dalam perjalanan ke Lembah Klang bagi menghantar rokok seludup berkenaan,” katanya dalam sidang media di Temerloh, Pahang, hari ini.

Wan Apandi berkata, seorang lelaki berusia 50-an turut ditahan kerana berada dalam lori itu ketika pemeriksaan dilakukan, bagaimanapun suspek sudah dibebaskan dengan ikat jamin.

Katanya, keseluruhan rokok seludup ditemui berjumlah 2,860,000 batang dianggarkan bernilai RM258,800.

“Jumlah duti serta cukai pula dianggarkan RM1.9 juta. Rokok ini diklasifikasikan sebagai barang dilarang pengimportan dan semuanya dirampas serta dibawa ke stor Cawangan Penguatkuasaan JKDM Temerloh.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dengan berurusan dengan barang-barang tidak berkastam mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 25 ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi,” katanya.

Wan Apandi berkata, kesalahan itu juga boleh dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – Malaysiapost

Komen