Kerajaan cadang semak semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan

Kerajaan cadang semak semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan

KERAJAAN bercadang menyemak semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman terhadap individu cuba membunuh diri supaya ia lebih relevan dan seiring dengan perkembangan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata cubaan bunuh diri adalah kesalahan jenayah yang diimport oleh penjajah British melalui Indian Penal Code.

Katanya, sedangkan United Kingdom telah memansuhkan kesalahan tersebut pada 1961 tetapi Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih kekal dalam undang-undang Malaysia, lapor Sinar Harian.

“Malaysia mewarisi pelbagai undang-undang dari zaman penjajahan British seperti Akta Kontrak 1950, Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950, Akta Undang-undang Sivil 1956, Akta Fitnah 1957.

“Undang-undang perlu disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan ia sesuai dengan perkembangan sains, teknologi dan keperluan semasa.

“Saya berpendapat hukuman jenayah bukan jawapan kepada masalah kesihatan mental. Oleh itu, saya komited untuk menyemak semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang, hari ini.

Menurut Azalina, terminologi dalam undang-undang dapat membentuk persepsi umum dan mempengaruhi tingkah laku masyarakat tentang sesuatu isu.

Justeru, sekiranya suatu terminologi perundangan mempunyai konotasi negatif, maka ia mungkin menyebabkan stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap komuniti tertentu.

“Misalnya perkataan ‘dumb witness’ dan ‘idiot’ masih diguna dalam Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan.

“Lidah tidak bertulang, tetapi lebih tajam daripada pedang. Saya berpendapat penggunaan terminologi bukan perkara yang kecil tetapi harus diberi pertimbangan yang sewajarnya dalam proses semakan undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

Komen