Kerajaan mesti kompeten tangani rayuan pengeluaran KWSP

Kerajaan mesti kompeten tangani rayuan pengeluaran KWSP

KERAJAAN digesa mempertimbangkan tuntutan rakyat untuk membuat sekali lagi pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, berpendapat pengeluaran itu wajar terutama bagi pengeluaran secara bersasar demi memastikan kelangsungan hidup rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin meruncing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata jika tuntutan itu tidak dapat dilaksanakan maka kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mencari penyelesaian segera untuk rakyat.

“Saya membaca laporan komen YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bunyinya tidak bersetuju dengan rayuan rakyat untuk mengeluarkan dana KWSP demi memastikan kelangsungan hidup.

“Saya bersetuju bahawa kerajaan mesti mencari penyelesaian jangka panjang untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin meruncing.

“Selama berpuluh tahun Anwar berceritera mengenai idea yang akan dibawa apabila menjadi Perdana Menteri. Sekaranglah masanya untuk melaksanakan semua itu. Kenapa masih tercari-cari idea lagi?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, semalam yang memaklumkan kerajaan bercadang untuk mencari alternatif lain bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup berbanding membenarkan pengeluaran wang KWSP.

Menurut Anwar, ia kerana baki simpanan majoriti pencarum KWSP adalah sangat kecil dan simpanan terbabit lebih penting untuk masa depan atau keperluan lain yang lebih mendesak.

Wan Saiful berkata, pihaknya telah dikunjungi oleh beberapa pengadu di pusat khidmatnya di Tasek Gelugor dan menerima memorandum daripada Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR) yang mahu pengeluaran KWSP dibenarkan.

“Saya sayu apabila ada yang menceritakan betapa mereka tidak mampu membeli makanan atau pakaian anak-anak sehingga ada yang menghadapi tekanan jiwa.

“Saya faham kebimbangan Anwar mengenai masa depan pencarum. Dan saya juga faham kesusahan pencarum yang bimbang mengenai kehidupan hari ini yang semakin meruncing.

“Saya harap Anwar faham bahawa tuntutan masa depan dan tuntutan semasa mestilah diseimbangkan,” katanya.

Wan Saiful berkata, secara umumnya beliau berpandangan bahawa cadangan yang wajar diambil serius oleh pihak kerajaan ialah cadangan untuk membenarkan pengeluaran secara bersasar.

“Penentuan sasaran dan kriteria pengeluaran mesti dikaji dengan mendalam. Tapi jangan biarkan rakyat menderita dan sengsara hari ini, padahal mereka ada wang dalam akaun KWSP yang kerajaan halang mereka keluarkan,” katanya.

Beliau berkata, kaedah pengeluaran bersasar dan dalam jumlah berperingkat yang dipelopori sewaktu era Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri itu boleh menjadi landasan bagi Anwar.

“Oleh kerana perkara ini ada disuarakan warga Tasek Gelugor, insha-Allah saya akan cuba membawa isu ini ke sidang Parlimen nanti. Dan saya harap kerajaan akan menyentuhnya dalam pembentangan Belanjawan 2023,” katanya. – Malaysiapost

Komen