Malaysia harus teroka sektor ekonomi baharu – PM

Malaysia harus teroka sektor ekonomi baharu – PM

MALAYSIA harus mencari jalan meneroka bidang baharu bagi mengatasi sektor ekonomi yang sedang merudum ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua pihak tidak seharusnya bersikap selesa ketika ini kerana ekonomi negara sedang mencari rentak kembali selepas malap dilanda pandemik Covid-19 selama dua tahun sebelum ini.

“Saya ingatkan bahawa kita tidak boleh ada sikap selesa terutamanya melibatkan aspek ekonomi yang merudum. Sebaliknya, harus segera mencari jalan dalam bidang-bidang baharu.

“Ini kerana ekonomi masih dianggap malap. Ia juga berkait perkembangan geopolitik saat ini serta serangan Covid-19 yang belum menzahirkan kekuatan kepada ekonomi kita,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau memaklumkan telah mengadakan sesi dialog Belanjawan 2023 bersama jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kementerian Kewangan, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Anwar berkata, antara sektor yang akan diberikan tumpuan adalah pendidikan, kesihatan, teknologi hijau, ekonomi digital dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Saya juga tegaskan bahawa Belanjawan 2023 harus mengambil kira pendekatan yang realistik yang mencakup keadaan ekonomi semasa.

“Sekiranya ada keperluan untuk membuat perubahan, kita akan lakukan kerana mandat diberikan adalah mandat untuk melakukan perubahan,” katanya. – Malaysiapost

Komen