PM ulangi pendirian tidak sisihkan negeri pembangkang

PM ulangi pendirian tidak sisihkan negeri pembangkang

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan sesekali meminggirkan mana-mana negeri walaupun ditadbir pembangkang.

Beliau berkata, ia bagi memastikan semua negeri dapat membangunkan ekonomi masing-masing sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Saya memberikan jaminan bahawa Perlis, seperti negeri-negeri yang lain, tidak akan disisihkan dari perhatian dan dukungan Kerajaan Persekutuan kerana kita mahu semua negeri membangun serta meningkat tahap ekonominya, dan ini semestinya memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Saya amat konsisten dalam perkara ini dan kerajaan tidak akan berganjak dari pendirian tersebut.

“Kita mesti bersama lakukan yang terbaik agar negara ini kembali bangkit dan makmur demi kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Semalam Perdana Menteri hadir pada Majlis Bersama Penjawat Awam Negeri Perlis.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tidak akan mengumumkan sebarang projek baharu untuk sesebuah negeri yang dilawatinya tanpa melakukan penelitian rapi terlebih dahulu.

Sebaliknya, katanya, ia mesti dikaji dengan mendalam dan mendapat persetujuan semua pihak termasuk di peringkat agensi berkaitan supaya dapat dilaksanakan dengan mengangkat prinsip ketelusan dan keberkesanan. – Malaysiapost

Komen