Rayuan Najib, anak berkait tunggakan cukai LHDN didengar 13 Mac

Rayuan Najib, anak berkait tunggakan cukai LHDN didengar 13 Mac

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 13 Mac ini untuk mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin berhubung penghakiman terus terhadap mereka dalam kes tunggakan cukai pendapatan.

Peguam Wee Yeong Kang, seorang daripada peguam yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi, lapor Bernama.

Beliau berkata, rayuan itu akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan secara dalam talian melalui aplikasi zoom.

Prosiding pengurusan kes berhubung rayuan itu berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron.

Najib dan Nazifuddin merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib serta RM37.6 juta daripada Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Pada 10 Mei tahun lalu, mereka memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Rayuan Najib dan Nazifuddin akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan sembilan persoalan undang-undang. – Malaysiapost

Komen