Saya bukan Superman – Anthony Loke

Saya bukan Superman – Anthony Loke

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyifatkan dirinya bukan seorang adiwira seperti ‘Superman’ yang mampu menyelesaikan masalah dalam masa singkat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya memohon agar diberikan masa bagi menaik taraf sistem pengangkutan awam negara ini.

“Saya bukan Superman, dengan semua akan baik selepas satu pemeriksaan mengejut terhadap pengangkutan awam.

“Bukan lepas tukar menteri semua masalah akan selesai pada hari berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama stesen radio berbahasa Cina seperti yang dipetik portal The Rocket.

Mengulas mengenainya, Siew Fook berkata, menteri sentiasa mendengar masalah, memahami kebimbangan dan kesengsaraan rakyat, namun pada masa yang sama tetap memberi fokus menyelesaikan masalah rakyat walaupun bukan melalui penyelesaian serta-merta.

“Ini cabaran saya beri pada diri sendiri. Sama ada saya boleh laksanakan atau tambah baik, ia memerlukan satu tempoh masa untuk dibuktikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, indeks prestasi utama (KPI) akan ditetapkan dalam sektor pengangkutan seperti berapa jauh kereta api boleh bergerak selepas rosak sekali.

Beliau mengambil contoh Singapura yang menyaksikan kereta api di negara berkenaan hanya rosak lima minit selepas bergerak sejauh dua juta kilometer (km).

“Jika jaraknya lebih jauh berbanding sebelum rosak, bermakna standardnya telah meningkat.

“Standard itu (Singapura) mungkin sangat jauh lagi untuk kita pada masa ini, tetapi kita akan gunakan pengukuran jenis ini pada masa hadapan,” katanya. –Malaysiapost

Komen