‘Shahidan lupa dia nak jadi MB Perlis seumur hidup’ – Puad

‘Shahidan lupa dia nak jadi MB Perlis seumur hidup’ – Puad

BEKAS Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim sepatutnya ‘cermin diri’ sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang meluluskan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meyifatkan Ahli Parlimen Arau itu sudah lupa bahawa beliau juga mahu menjadi Menteri Besar Perlis seumur hidup.

“Shahidan pun tumpang semangkuk pasal PAU 2022. Dia cadang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jadi Presiden seumur hidup dan kes mahkamah ditangguhkan sehingga lima tahun. Bolehlah Zahid tadbir negara dengan aman damai.

“Hebat Shahidan. Dia lupa, dia nak jadi MB Perlis seumur hidup. Kedua-dua, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Datuk Seri Azlan Man kena kacau, siap lawan Raja kerana dia dan adik gagal jadi MB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Shahidan mencadangkan Ahmad Zahid menjadi Presiden Umno seumur hidup dan kes mahkamah ditangguhkan sehingga lima tahun supaya beliau boleh mentadbir negara dengan aman dan damai.

Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno selepas perwakilan pada PAU 2022 meluluskan usul kedua-dua jawatan berkenaan tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu akan datang.

Keputusan itu dicapai selepas majoriti perwakilan bersetuju terhadap cadangan agar Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan menerusi satu usul tambahan oleh wakil Umno Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin.

Mohd Puad secara sinis turut mengucapkan tahniah kerana kes gangguan seksual yang didakwa ada kaitan dengan Shahidan sebelum ini telah digugurkan.

“Tahniahlah kerana kes gangguan seksualnya digugurkan. Bolehlah jadi menteri sepanjang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri.

“Cuma tidak boleh selamanya. Jangan bangkitkan kes ini di Parlimen ye,” katanya. – Malaysiapost

Komen