Siti Bainun sebak, 2 lagi peguam tarik diri

Siti Bainun sebak, 2 lagi peguam tarik diri

PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali sebak apabila diberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dua lagi peguam yang mewakilinya dalam kes pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella, menarik diri.

Ini sekali gus menjadikan Siti Bainun keseorangan tanpa lima peguam bela dalam kes berkenaan.

Semalam, prosiding bela diri Siti Bainun ditangguhkan apabila tiga peguamnya, Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor menarik diri.

Ketika prosiding, Hakim Izralizam Sanusi memaklumkan kepada Siti Bainun bahawa pihak mahkamah ada menerima notis penarikan diri kedua-dua peguam itu malam tadi.

“Saya dapat notis (penarikan diri) itu malam tadi jam 9 malam. Saya bagi tarikh, kamu kena lantik peguam secepat mungkin,” katanya dipetik Harian Metro.

Ketika berada dalam kandang tertuduh pada prosiding bela diri hari ini, Siti Bainun kelihatan mengesat air mata dan suaranya berubah sebak ketika menjawab pertanyaan Hakim Izralizam Sanusi.

Izralizam menetapkan 26 dan 27 Januari sambung perbicaraan, malah Siti Bainun diperintahkan mengemukakan status lantikan peguam baharu pada hari berkenaan.

Beliau turut menasihati Siti Bainun supaya melantik peguam yang boleh memberikan komitmen dan bertanggungjawab dalam mengendalikan kesnya.

“Kamu kena fikir mana peguam yang berikan kebaikan kepada kamu, jangan lantik tiga empat firma (apabila) berlaku (isu) macam ini (tarik diri) tidak beri manfaat kepada kamu.

“Apabila seorang tarik diri, team (pasukan) juga tarik diri. Dapat seorang pun memadai kalau dia dapat mengendalikan kes dengan baik,” katanya.

Sebelum sesi itu berakhir, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas bangun memberitahu bahawa ini kali kedua Nurul Hafidzah menarik diri daripada kes berkenaan.

“Kami ingin merekodkan ini kali kedua Nurul Hafidzah menarik diri menjadi peguam bela tertuduh dan kami ingin direkodkan bahawa penarikan diri saat ini (akhir) adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Ini juga tidak hormat mahkamah dan tidak memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001. – Malaysiapost

Komen