Thailand julang Piala AFF buat kali ke-7

Thailand julang Piala AFF buat kali ke-7

PASUKAN Thailand mencatat sejarah tersendiri menjuarai Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) buat kali ketujuh dengan menewaskan Vietnam pada final kedua AFF 2022 di Stadium Thammasat di Pathum Thani, malam tadi.

Skuad Gajah Perang itu menumpaskan Naga Emas 1-0 sekaligus meraih keputusan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 pada aksi final pertama.

Pasukan bimbingan Alexandre Polking itu kini mencatat rekod pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran Piala AFF, selepas memenangi edisi 1996, 2000, 2002, 2014, 2016 dan 2020.

Dalam saingan malam tadi, Ketua Pasukan Thailand, Theerathon Bunmathan meledak gol tunggal perlawanan dari luar kotak penalti pada minit ke-24.

Vietnam yang dipimpin pengendali Park Hang Seo gagal mendapatkan gol penyamaan walaupun Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain di saat-saat akhir apabila pemainnya diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.

Selepas Thailand, Singapura pasukan kedua paling berjaya dengan rekod empat, gelaran diikuti Vietnam (dua) dan Malaysia sekali iaitu pada 2010. – Malaysiapost

Komen