Wang bantuan sekolah dilarikan, polis siasat kemungkinan pembabitan orang dalam

Wang bantuan sekolah dilarikan, polis siasat kemungkinan pembabitan orang dalam

POLIS akan menyiasat kes wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 bagi sebuah sekolah di Beranang, Selangor, yang lesap dilarikan penjenayah, semalam secara menyeluruh termasuk unsur pembabitan ‘orang dalam’.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya akan mengenalpasti sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian atau penglibatan orang dalam.

“Buat masa ini kita teruskan siasatan dengan meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenalpasti individu yang keluar masuk dari bank berkenaan.

“Kita akan siasat dari semua sudut, kemungkinan ada penglibatan orang dalam, kemungkinan ada kecuaian. Kita sudah rakam keterangan guru besar berkenaan dan akan ada lagi pihak akan dirakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baharu Cina peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Mohd Zaid turut meluahkan rasa kecewa kerana pihak sekolah tidak meminta bantuan pengiring keselamatan daripada pihak polis sebelum mengeluarkan wang berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah lama menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan kepada lebih 100 sekolah di sekitar Kajang yang ingin mengeluarkan wang tunai di bank.

“Hasil soal siasat terhadap guru besar sekolah berkenaan, dia memberitahu tidak pernah meminta bantuan pengiring sejak 10 tahun berkhidmat dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.

“Kita syorkan pada pihak sekolah untuk dapatkan bantuan pengiring daripada polis. Kita akan iring mereka daripada bank sehingga ke tempat yang selamat,” katanya.

Terdahulu Mohd Zaid dalam satu kenyataan, memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pecah kenderaan membabitkan kehilangan wang bantuan persekolahan berjumlah lebih RM109,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu,wang berkenaan dikeluarkan oleh guru besar berusia 50 tahun di sebuah bank di Kampung Baru Semenyih sebelum meninggalkannya seketika di bahagian tempat duduk penumpang untuk membeli minuman.

Kereta mangsa dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang dan beg berisi wang tunai berkenaan yang sepatutnya diagihkan hari ini dilarikan penjenayah. – Malaysiapost

Komen