Zahid yakin kemampuan Dusuki teraju Majlis Ulama Umno

Zahid yakin kemampuan Dusuki teraju Majlis Ulama Umno

DATUK Dusuki Ahmad mampu menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Ulamak Umno yang ditubuhkan baru-baru ini, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, latar belakang pendidikan Islam dari Universiti Al-Azhar selain sarat dengan pengalaman dalam usaha mengangkat martabat syiar Islam dalam negara menjadikan Dusuki individu yang paling layak mengemudi Majlis Ulamak Umno.

“Sebagai seorang Ustaz yang berkelulusan Sarjana dalam Bidang Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Datuk Dusuki pernah menjadi Ahli Parlimen Tumpat dan Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Wilayah dan Kementerian Penerangan dari tahun 1982-1990. Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 1976-1984, Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Malaysia dan Setiausaha Biro Agama Umno Malaysia.

“Selaku tokoh Agama yang banyak pengalaman dan jaringan persahabatan di kalangan ulamak dan cendekiawan Islam dalam dan luar negara, saya percaya Datuk Dusuki mampu membantu saya dan Umno untuk memperkukuhkan lagi agenda dakwah Islamiyyah, pendidikan Islam dan tarbiyyah dalam parti,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid juga menjelaskan, beliau yakin dengan kemampuan Dusuki yang akan dibantu bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk mengemudi Majlis Ulamak Umno.

“Tengahari ini berkesempatan bertemu dengan Datuk Haji Dusuki Ahmad, sahabat lama yang saya isytiharkan namanya waktu Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu sebagai Pengerusi Majlis Ulamak Umno yang baru ditubuhkan.

“Saya mengenali Datuk Dusuki lama bukan sahaja sebagai ulamak, pemikir dan veteran Umno tetapi sebagai seorang sahabat yang saya sendiri pernah diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim waktu beliau menjadi Menteri Kewangan untuk saya membantu Datuk Dusuki yang diamanahkan selaku Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), manakala saya sebagai Pengerusi YADIM Holding.

“InsyaAllah beliau juga akan dibantu oleh Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS,” katanya. – Malaysiapost

Komen