Ahmad Maslan cadang 7 langkah kurangkan hutang negara

Ahmad Maslan cadang 7 langkah kurangkan hutang negara

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengemukakan tujuh langkah untuk mengurangkan hutang negara yang kini mencecah hampir RM1.5 trilion.

Beliau berkata, langkah pertama ialah dengan menambah pendapatan kerajaan, diikuti mengurangkan ketirisan seperti rasuah.

Jelas beliau, langkah ketiga dengan mengetatkan penguatkuasaan seperti menghapuskan penyeludupan dan keempat, mengurangkan ekonomi gelap.

“Kelima, meningkatkan pendigitalan ekonomi, diikuti mengelakkan segala bentuk pembaziran dan terakhir ialah subsidi perlu bersasar,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Setiausaha Agung Umno itu bagaimanapun tidak memberi perincian lanjut setiap langkah yang dikemukakan itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan hutang negara termasuk liabiliti kini sudah mencecah hampir RM1.5 trilion dan usaha menanganinya wajar disegerakan.

Menurutnya, Kedudukan hutang negara terkini sudah mencecah melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – Malaysiapost

Komen