Dr Zaliha janji lakukan terbaik untuk OKU

Dr Zaliha janji lakukan terbaik untuk OKU

MENTERI Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berjanji akan melakukan yang terbaik untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU) terutama membabitkan fasiliti kesihatan.

Komitmen itu disuarakan dalam pertemuannya dengan Senator Dewan Negara mewakili OKU, Datuk Ras Adiba Radzi di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di Putrajaya semalam.

Menurutnya, dalam pertemuan itu Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral, mengutarakan pelbagai perkara dan cadangan dalam memberi manfaat kepada semua terutama golongan istimewa.

“Dalam pertemuan itu turut menyentuh pengubahsuaian prasarana fasiliti kesihatan di Malaysia agar mematuhi Keperluan Reka Bentuk Sejagat Dan Malaysia Standard (MS1184).

“Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu golongan OKU terutama melibatkan fasiliti kesihatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, perbincangan mereka turut berkisar tentang menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat di hospital dan klinik bagi membantu OKU pendengaran serta kemudahan kesihatan golongan OKU.

“Saya hargai cadangan dan saranan yang diberikan kerana isu ini signifikan dan membawa manfaat kepada semua terutamanya rakan golongan OKU,” katanya.

Dr Zaliha berkata, Ras Adiba juga mengutarakan agar kerajaan hari ini mewujudkan Dasar Penyakit Jarang Jumpa bagi penjanaan kesihatan komuniti penyakit jarang jumpa yang merangkumi sokongan kerajaan, penyelidikan jujukan jenom, jumlah pakar genetik dan penyediaan fasiliti rawatan di hospital atau klinik pakar.

“Kami juga membincangkan berkaitan penubuhan Majlis Autisme Kebangsaan. Selain itu, perkara yang dibangkitkan ialah menambah Pusat Mentari dan peruntukan bagi mengatasi masalah kesihatan mental yang berlarutan,” katanya.

Sementara itu, Ras Adiba mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan yang sudi berbincang beberapa isu terutama membabitkan golongan OKU.

“Terima kasih Dr.Zaliha Mustafa sudi berbincang isu-isu ini bersama saya,” katanya.

Antara isu lain yang dibincangkan adalah menyediakan ramai anggota kesihatan yang terlatih dalam bidang ketidakupayaan; mengukuhkan insurans kesihatan buat OKU; laman web dan media sosial yang mesra OKU; dan memansuhkan fi sewaktu buat pemeriksaan pengesahan ketidakupayaan OKU. – Malaysiapost

Komen