Duit pusaka RM35,000 hilang angkara khidmat bersih bulu haiwan

Duit pusaka RM35,000 hilang angkara khidmat bersih bulu haiwan

SEORANG suri rumah berusia 40 tahun kerugian RM35,000 selepas terpedaya dengan urusan perkhidmatan pembersihan bulu haiwan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan suri rumah itu melihat iklan pembersihan bulu haiwan pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui nombor telefon diberikan.

“Suspek meminta mangsa memuat turun aplikasi yang diberikan bagi tujuan pembayaran perkhidmatan itu.

“Selepas mengisi maklumat diri dalam aplikasi itu, mangsa mendapati wangnya berkurangan sebanyak RM35,000 daripada akaun miliknya yang juga wang pusaka ayahnya.

“Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Harian Metro.

Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai tidak memuat turun aplikasi yang tidak berkaitan.

“Jangan mendedahkan butiran perbankan kepada pihak ketiga atau aplikasi daripada pautan mencurigakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen