FIFA saran kejohanan AFF dimasukkan dalam kalendar bola sepak

FIFA saran kejohanan AFF dimasukkan dalam kalendar bola sepak

PERSEKUTUAN Bolasepak Dunia (FIFA) menyarankan kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) dimasukkan ke dalam kalendar badan bola sepak dunia itu.

Presidennya, Gianni Infantino berkata Piala AFF sepatutnya menjadi kejohanan rasmi FIFA di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, Piala AFF memiliki potensi menjadi acara bola sepak terbesar di rantau ini memandangkan sambutan luar biasa peminat di negara-negara yang bertanding.

“Piala AFF harus disenaraikan menjadi kejohanan FIFA. Kami harus memastikan pertandingan ini semakin berkembang.

“Jika kita bekerjasama, saya yakin kejohanan AFF akan menjadi acara besar dengan persetujuan FIFA,” kata Infantino memetik laporan Zingnews.

Infantino berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF 2022 antara Thailand dan Vietnam di Stadium Thammasat, Bangkok, kelmarin.

Infantino menegaskan, populasi masyarakat Asia Tenggara yang rata-rata menjadikan bola sepak sebagai sukan nombor satu, faktor kejohanan AFF lebih menarik dan berperstij.

“Kojohanan ini dianggap sebagai acara penting bagi Asia Tenggara. Dengan populasi lebih dari 650 juta orang, masyarakat Asean semuanya sangat menyukai sepak bola.

“Selain itu dalam tiga tahun terakhir, negara-negara Asean tertarik terhadap bola sepak dan mempamer prestasi baik dalam bola sepak lelaki dan wanita,” katanya.

Sejak 1996, kejohanan AFF tidak pernah disenaraikan dalam kalendar FIFA.

Selain itu, mata juga tidak diambil kira dalam pertandingan ini sekali gus tidak mempengaruhi kedudukan ranking FIFA bagi pasukan yang bertanding. – Malaysiapost

Komen