Ismail Sabri, Hishammuddin, KJ, dicabar pertahan, tanding jawatan Naib Presiden

Ismail Sabri, Hishammuddin, KJ, dicabar pertahan, tanding jawatan Naib Presiden

Ismail Sabri, Hishammuddin, KJ, dicabar pertahan, tanding jawatan Naib Presiden

KUMPULAN dalam Umno yang mempertikaikan keputusan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 minggu lalu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, dicabar bertanding merebut tiga kerusi Naib Presiden.

Cabaran itu dibuat Timbalan Pengerusi Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang berpendapat jawatan berkenaan tersedia untuk dicabar pada pemilihan parti akan datang.

“Saya nak cadangkan kepada mereka yang nak sangat bertanding jawatan, bolehlah cuba masukkan nama untuk merebut tiga kerusi Naib Presiden yang sedia untuk dicabar.

“Mungkin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh bersedia mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sekarang.

“Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ketua Umno Bahagian Sembrong) pun boleh juga ‘test market’ adakah dia benar-benar popular dalam kalangan ahli akar umbi dan perwakilan.

“Khairy Jamaluddin (Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau) pula boleh juga cuba nasib di kerusi Naib Presiden itu selepas pernah kalah dalam perebutan kerusi Presiden pada 2018 lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Nur Jazlan berkata, beliau percaya pastinya bukan setakat ahli Umno saja yang ternanti-nantikan pertembungan epik itu, bahkan orang luar Umno juga ingin tahu tahap populariti jagoan politik Umno berkenaan.

Beliau menamakan tiga pemimpin Umno berkenaan yang dilihat mempertikaikan mengenai keputusan agar dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Menurutnya, isu tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sepatutnya sudah selesai dan tak perlu mana-mana pihak ungkit lagi.

“Perwakilan sudah buat keputusan, hormati dan terima sajalah. Jangan diteruskan polemik yang tak menguntungkan Umno tetapi sebaliknya semua pihak kena fokus untuk menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai tindakan segelintir pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang turut membuat kenyataan dalam soal Kerajaan Perpaduan dan juga campur tangan dalam hal ehwal Umno.

Katanya, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim kini mula menyentuh isu sensitif membabitkan Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

“Ketika pucuk pimpinan atasan PH mengambil sikap tutup mulut dan berdiam diri kerana mereka lebih memikirkan kedudukan serta kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, pemimpin bawahan pula yang melalak.

“Macamlah dalam DAP sendiri tak ada masalah atau pergolakan seperti pertembungan antara ‘Dinasti Lim’ dan kumpulan cauvinis Cina.

“Manakala dalam PKR pula umum sudah mengetahui tentang isu pertembungan arus antara Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Rafizi Ramli. Tapi masing-masing bersikap kunci mulut demi kekuasaan dan jawatan,” katanya.

Nur Jazlan mendakwa, pemimpin PH terutamanya DAP mahukan undi Melayu dengan mengharapkan bantuan dan sokongan Umno sehingga mereka sanggup meludah ke langit serta telan ludah sendiri.

“Mereka tahu tanpa kerjasama dengan Umno mereka tak dapat bergelar menteri dalam Kerajaan Perpaduan. Sehingga mereka sanggup akur menerima kuota menteri dan timbalan menteri yang sedikit,” katanya. – Malaysiapost

Komen