Jangan ‘tinggalkan’ kes yang sudah disiasat, Anwar diingatkan

Jangan ‘tinggalkan’ kes yang sudah disiasat, Anwar diingatkan

VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak hanya mengejar ‘kemungkinan’ kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran terdahulu hingga melupakan kes yang sedang siasat.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Kewangan itu semalam, yang mengatakan negara boleh jimat hingga RM10 bilion daripada kebocoran yang berlaku dalam sistem perolehan kerajaan.

Menurutnya, apa yang dikatakan Ahli Parlimen Tambun itu adalah ‘kemungkinan’, sebaliknya ada kes yang sudah disiasat dan dibawa ke muka pengadilan yang turut perlu diberi tumpuan.

“Baru ‘kemungkinan’…Bagaimana pula yang sudah disiasat dan umum mengetahui?

“Dari kehilangan Batu Putih, pelantikan Ketua Hakim Negara bertentangan undang-undang, penglibatan suami Gabenor Bank Negara (TS Zeti Aziz) dan lain-lain dengan Jho Low, penglibatan Hakim Nazlan dalam SRC..?

“Takkan kejar kemungkinan, tinggalkan pula yang sudah disiasat dan yang boleh dibawa ke muka keadilan?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu Anwar ketika berucap pada majlis Dialog Belanjawan 2023 di Putrajaya, semalam dilaporkan berkata kebocoran dana kerajaan boleh dihentikan sekiranya amalan rasuah dibanteras di semua peringkat.

Menurutnya, dalam tempoh tidak sampai dua bulan menerajui Kementerian Kewangan, beliau sudah kenal pasti RM3 bilion hingga RM4 bilion yang bocor kepada parti dan tokoh politik. – Malaysiapost

Komen