Jangan ulangi kesilapan, keterlanjuran kerajaan terdahulu – PM

Jangan ulangi kesilapan, keterlanjuran kerajaan terdahulu – PM

KESILAPAN pentadbiran kerajaan terdahulu mesti dielakkan dan tidak sewajarnya diulangi oleh Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri mesti mengambil pendekatan serius bagi memastikan kesilapan dan keterlanjuran kerajaan terdahulu yang melibatkan aspek perbelanjaan, ketirisan dan syarat serta peraturan tidak berlaku.

“Perbincangan turut diadakan dengan Ketua Audit Negara melibatkan laporan untuk tahun 2021 bagi meneliti semula teguran-teguran yang dibuat melibatkan perbelanjaan, ketirisan, syarat serta peraturan.

“Saya turut menggesa Jemaah Menteri mesti ambil teguran ini secara serius bagi menghentikan kesilapan dan ketelanjuran di masa lalu, dan ia sama sekali tidak boleh diteruskan,” katanya di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, Perdana Menteri turut berkongsi beberapa intipati penting yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, Jemaah Menteri turut dikemukakan cadangan penambahan jawatan Ketua-Ketua Hakim bagi negeri Sabah dan Sarawak berikutan peningkatan kes di kedua-dua negeri berkenaan.

“Selain itu, bangunan-bangunan Mahkamah di Sabah dan Sarawak yang dhaif akan turut dibaiki,” katanya. – Malaysiapost

Komen