Jemaah Menteri diminta teliti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2021

Jemaah Menteri diminta teliti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2021

JEMAAH Menteri diminta untuk meneliti secara serius teguran-teguran yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2021 yang dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia supaya kesalahan sama tidak berulang kerana laporan Ketua Audit Negara kadang-kadang memberikan syor-syor, tetapi kesilapan atau keterlanjuran yang sama diteruskan tahun demi tahun.

Menurutnya, laporan itu akan diumumkan menteri-menteri berkaitan pada waktu yang sesuai dan akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang.

“Kita mengambil masa agak panjang juga untuk meneliti laporan Ketua Audit Negara.

“Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan untuk tahun 2021. Saya minta menteri-menteri untuk teliti semula teguran yang dibuat..soal perbelanjaan, ketirisan, tidak menepati syarat dan peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, laporan Ketua Audit Negara itu penting terutama membabitkan kesilapan yang sama yang berulang seperti kurang pengawasan, membiarkan ketirisan dan beberapa isu lain yang dibangktkan.

“Laporan dikeluarkan merujuk isu atau masalah yang spesifik..tidak semestinya rasuah kerana ia mungkin bukan bidang kuasa mereka.

“Jadi tugas kita adalah untuk melihat isu dibangkitkan dan meminta pihak berkaitan memberi penjelasan mengenainya. Jika perlu ambil tindakan lanjut atau buat laporan mengenainya.

“Setiap menteri perlu ambil tanggungjawab untuk meneliti laporan itu. Penjawat awam perlu kekalkan integriti dan kecekapan perkhidmatan mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen